resepi Lala Masak Sambal dengan petai atas piring putih, Food Photography and bokeh effect, Nikon D3400

Lala masak lemak dan Lala rebus serai iaitu 2 hidangan yang sinonim sangat dengan Lala. Malah pelbagai resepi yang boleh dibuat dengan Lala ni seperti masakan Kam heong, Masam manis, goreng bercili dan pelbagai lagi. Tetapi hari ni Ida nak berkongsi resepi Lala masak sambal yang dicampur dengan petai.  Jarang makan petai tapi dah sekali ada tu trylah campur dengan lala sebab selalunya petai ni masak bersama sambal udang.  Jangan kata tak sedap, sedap tau sebab dalam kepahitan ada kemanisannya 😂.  Petai ni pahit-pahit manja gitu.  Jom tengok resepinya.


Bahan-bahan:

  • Lala
  • 1 mangkuk kecil biji Petai
  • 1 batang serai
  • 1 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1/2 biji bawang holland
  • Air asam jawa
  • Cili kisar
  • Garam dan ajinomoto
  • Gula merah
  • Minyak
  • Air


Cara Memasaknya

1.  Rebus lala sehingga masak.  Toskan dan asingkan kulit dan isinya.  Cuci isi lala dan ketepikan sementara menyediakan bahan untuk sambal.

2.  Blender atau tumbuk bawang merah, bawang putih dan halia.  Ketuk serai dan bawang holland dimayang.

3.  Panaskan minyak dikuali yang mengikut keselesaan anda memasak, jika suka pakai kuali leper tiada masalah sebab Ida tahu yang memasak menggunakan induction cooker biasanya akan memakai kuali leper.

4.  Tumis bawang merah, bawang putih dan halia sehingga agak garing.  Masukkan cili kisar.  Gaul sehingga agak naik minyak (keluar minyak).  Kemudian masukkan bawang holland, serai, gula merah, garam dan ajinomoto... ajinomoto tu jika suka letaklah.  Gaul lagi lebih kurang 2 minit.

5.  Boleh tambah air sedikit jika kering.  Kemudian boleh masukkan air asam jawa sambil gaul.  

6.  Selepas itu masukkan petai dan lala anda.  Gaul sehingga masak.  Masak sekejap sahaja tau sebab lala dah masak sebenarnya dan petai pula kita nak ia dalam keadaan rangup-rangup gitu ketika di kunyah.  Siapa peminat petai pasti tahu 😀.

Seafood, Lala masak sambal dengan petai, Food Photography using Nikon D3400 bokeh effect with just kits lense

Selamat mencuba 👍👍