Ikan Belais, Ikan Dengkis atau juga dikenali Ikan Baronang masak bakar bersambal. |
Sejak kebelakangan ni ramai pulak di media sosial post "masak apa tak jadi harini" dan sejujurnya sebenarnya ada juga masakan Ida yang tak jadi atau kurang menjadi biasalah kan 😅. Tapi kebanyakan resepi Ida alhamdulillah menjadi so di pendekan cerita kalini Ida nak share resepi Ikan belais bakar bersambal. Lain tempat lain namanya begitu juga dengan ikan, ikan ini di Sabah kami menggelarnya sebagai Ikan Belais @ Belawis, tetapi berbeza jika di Semenanjung ia di panggil ikan Dengkis, ada juga yang menggelarnya ikan Baronang. Ketika membeli, berulang kali kepala Ida kejap mendongak ke ikan, lepas tu mendongak semula ke harga yang bertulis namanya. Lepas tu bawa ke bahagian menimbang ikan dan siap tanya nama ikan lagi, sah memang namanya ikan Dengkis. Oklah, Ida beli beberapa ekor. Tapi yang bakar seekor je, ngamlah dengan saiz kami. Sangat sedap jika dibakar bersambalkan tomato dan belacan. Dalam resipi ni, Ida cuma gunakan cili yang sedikit sebenarnya. Jika nak yang lebih pedas dan menyengat boleh je tambah cili tu. Resipi ni juga ilham daripada kakak Ida. Asal ada Ikan Belais selalu masak bakar bersambal. Cuma mungkin sambal kakak lebih pedas kot.
Tips daripada Ida untuk mempercepatkan proses arang kepada bara, Ida sarankan bagus jika menggunakan flame torch. Cepat dan mudah. Banyak je berjual di Shoppe atau Lazada.
Apa-apa pun jom kita lihat resipi Ikan Belais @ Dengkis Bakar Bersambal, semoga memberi idea memasak. Boleh rujuk video untuk lihat step dengan mudah 👇
vLog ikan Belais atau juga dikenali ikan Dengkis, masak bakar bersambal.
Bahan-Bahan :
- 1 ekor Ikan Belais
- 2 biji bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 8 biji cili padi merah dan hijau (mix)
- Sedikit belacan di bakar/sangai
- 1 biji tomato besar dibelah 6
- 1 sudu teh garam
- 1 sudu makan gula
- 1 biji limau kasturi
- Sedikit minyak
- Daun pisang
Cara Memasaknya:
1. Bersihkan ikan Belais dengan cara memotong semua sirip tajam termasuklah sirip atas, bawah dan ekor. Bersihkan dalam perut ikan. Seterusnya hiris iaitu buat pocket bahagian atas belakang ikan untuk memasukkan sambalnya. Sesudah itu, ketepikan ikan sementara Ida membuat sambalnya sebelum dibakar.
2. Tumbuk bawang merah, putih, cili merah dan cili hijau. Tumbuk kasar je.
3. Selepas itu, masukkan belacan kedalam lesung tadi dan tumbuk sekali. Belacan tu bakar terlebih dahulu. Tak kiralah anda nak bakar macam mana pun contohnya sangai atau cucuk dengan garfu dan bakar atas api di gas (cara lama) atau ada juga yang goreng je.
4. Kemudian masukkan pula tomato yang telah digoreng terlebih dahulu. Maksudnya jangan tunggu sejuk, lepas goreng layu terus masukkan kedalam lesung berisi bawang tadi. Tumbuk atau lenyek manja je.
5. Sesudah lumat, campurkan garam dan gula. Gaul sebati didalam lesung tadi.
6. Ambil ikan Belais tadi, masukkan sambal ke dalam pocket-pocket ikan Belais. Masukkan juga sambal ke dalam perut ikan. Sambal yang tidak habis tu ambil sikit untuk buat sapu atas ikan masa di bakar, dan simpan sikit untuk buat cicah lepas ikan masak.
6. Letakkan ikan Belais di atas pembakar ikan berklip atau barbecue grill rail holder clipper yang telah dialas dengan daun pisang dibahagian tengahnya. Tujuannya adalah supaya isi ikan tidak mudah lekat di besi pembakar ikan. Tambahan pula, ia akan memberikan aroma wangi daun pisang membuatkan ikan bertambah enak untuk dimakan.
7. Bakarlah ikan anda dengan penuh semangat dan kesabaran. Ini kerana bab membuat bara pun banyak cabarannya.
8. Akhirnya, hidangkan bersama baki sambal tadi dan perahkan air limau kasturi ke dalam sambal untuk cicah makan ikan yang dah masak.
Selamat mencuba.
0 Comments