Fish Fillet Sweet And Sour Lemon | Talapia Fillet Lemon

Hari ini Ida nak share cara masak hidangan resepi Fillet Ikan Rangup bersama Sos Masam Manis dengan jus lemon. Pada asasnya resipi ini adalah hasil gabungan idea masakan Melayu dan Cina yang menggabungkan masam dan manis didalamnya.  Hidangan ni juga pada fikiran Ida sangat sesuai untuk anak-anak yang kurang suka kepada makanan pedas disamping menggunakan isi ikan yang tidak bertulang.

Dalam resepi ni, Ida gunakan ikan Tilapia Hitam 😯.  Ikan Tilapia mudah didapati dan harganya pula berpatutan, jika dimasak dengan baik rasanya pula enak.  Rasanya jarang orang memasaknya kot kerana mungkin bau hanyir yang kuat.  Tetapi dengan resepi ni baunya langsung tiada tau, sedap lagi.  Antara rahsianya ialah lemon dapat menghilangkan bau hanyir ikan.  So jom cuba lihat resepi dan cuba memasaknya, InsyaAllah jika mengikut stepnya dengan betul pasti akan sedap dan berpuashati.

vLog Cara masak Tilapia Fillet Sweet Sour Lemon
(Pst, kawan-kawan support & subcribe YouTube Channel Ida ye, banyak lagi resepi Ida akan share)

Bahan-Bahan:

  • 4 ekor ikan Tilapia saiz sederhana
  • 4 sudu makan tepung jagung
  • 2 ulas bawang putih diketuk dan potong kecil
  • 1/2 biji lemon
  • 1 sudu teh minyak bijan
  • 1 sudu teh garam
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • 1 sudu teh lada sulah
  • 1 biji telur - ambil putih telur sahaja
  • Minyak untuk menggoreng


Bahan-Bahan Untuk Sos:

  • 1 biji bawang holland dipotong kiub
  • 1 sudu makan minyak bijan
  • 1 sudu makan kicap soya cair
  • 1/2 biji lemon
  • 1/2 cawan air
  • 2 sudu makan gula
  • 1 sudu makan garam
  • 1 sudu makan tepung jagung yang telah dicairkan
  • Bijan secukupnya
  • Minyak untuk menumis


Cara Memasaknya:

1.  Pisahkan isi ikan daripada tulangnya (boleh rujuk vlog cara-caranya).  Cuci bersih pastikan tiada tulang yang tersisa diisi ikan.  Potong isi ikan mengikut saiz yang dikehendaki.

2.  Campurkan isi ikan dengan bawang putih, garam, serbuk kunyit dan lada sulah.  Gaul.

3.  Kemudian perahkan jus lemon dan gaul sebati lagi.  Selepas itu perap sekurang-kurangnya 1 jam.  Lebih lama lebih sedap.

4.  Selepas 1 jam, gaulkan isi ikan dengan putih telur dan minyak bijan.  Gaul sekata.  Kemudian salut dengan tepung jagung.

5.  Selepas itu goreng isi ikan dengan minyak yang banyak sehingga warna kuning keemasan.  Toskan sementara itu boleh buat sosnya pula.

6.  Tumis bawang holland menggunakan sedikit minyak sehingga agak layu dan berbau wangi.  Tambahkan 1/2 cawan air jika agak kering.  

7.  Kemudian perahkan 1/2 biji jus lemon ke dalam kuali tumisan bawang holland.  Gaul seketika, kemudian masukkan lagi minyak bijan, kicap soya cair, gula dan garam.  Gaul lagi.

8.  Selepas itu boleh masukkan tepung jagung yang telah dicairkan.  Gaul sehingga kepekatan.  Apabila sudah pekat, masukkan isi ikan yang telah digoreng tadi dan gaul.

9.  Akhir sekali masukkan biji bijan.  Gaul sehingga sekata.  Ok sudah siap untuk dihidangkan.



Selamat mencuba  👍👍

#edakitchen #fishfillet #sweetandsour #tilapia