Sebelum boleh membuat kuah kacang sendiri, Ida selalu beli makanan yang ada kuah kacang seperti sate kuah kacang, rojak mee dan nasi impit kuah kacang. Bermula daripada itu, Ida cuba belajar buat sendiri yang penting tidak cepat basi, tidak menyebabkan batuk, tidak cair dan menepati citarasa tekak.
Bagi Ida untuk kuah kacang "rahsianya" pada penyediaan kacang itu sendiri dan sedikit daripada kuahnya. Pertama, sangai bukan goreng. Supaya mudah untuk dibuang kulit dan tidak terlalu berminyak. Kedua, kulit kacang yang banyak akan menyebabkan batuk jadi mesti buang kulit sekurang-kurangnya 80 %. Mesti tinggalkan sedikit kulit sebab kulitnya yang menyebabkan kuah kacang anda wangi dan sedap. Ketiga, kisar menggunakan mesin kisar kering supaya kita boleh lihat kasar dan halusnya. Tak maulah terlalu kasar atau terlalu halus. Terlalu kasar pun boleh menyebabkan batuk dan terlalu halus pula buat kuah kacang anda akan kelihatan cair dan lecek. Dan Ida tidak nafikan kuah kacang yang Ida buat selalunya tidak cepat basi sebab tak guna santan. Selalunya Ida buat banyak supaya boleh buat frozen yang selebihnya. Bila nak makan tinggal keluarkan dari peti ais dan panaskan. Kalau guna dapur gas, letak dalam kuali campur air sikit dan masaklah macam biasa. Kalau guna microwave, defrost dulu barulah panaskan .. tak perlu campur air. Senang tak ? Emmm agak cerewet juga kan kalau Ida yang buat kuah kacang.
So jom cuba buat kuah kacang yang Ida buat,
vLog cara masak kuah kacang Step by Step
Bahan-Bahan:
400 gm kacang tanah
130 gm @ 5 sudu makan cili kisar
1 kiub ayam
1 sudu teh garam
3 sudu makan gula
50 ml air asam jawa
Minyak masak
Air secukupnya
Bahan Kisar:
30 gm @ 4 biji bawang merah
20 gm @ 3 ulas bawang putih
15 gm @ 1 ketul halia
10 gm @ 1 ketul lengkuas
2 batang serai
Cara Menyediakannya:
1. Kacang tanah disangai (goreng tanpa minyak)
2. Kemudian proses buang kulit. Walau bagaimanapun, kulitnya tu tak perlulah tanggal semua pun.
3. Selepas itu kisar menggunakan mesin pengisar kering. Kisar kacang, tak perlu semuanya hancur. Ada ketul-ketul sikit pun ok. Tak cantik jika semua halus macam inti kacang pula jadinya. Ok berikutnya proses penyediaan kuah kacang.
4. Panaskan minyak, kemudian tumis bahan kisar sehingga wangi. Kemudian masukkan cili kisar. gaul sehingga naik minyak.
3. Masukkan gula dan garam. Mesti selalu gaul supaya tidak hangus dibawah kuali. Selepas itu masukkan 2 1/2 cawan air. Gaul sekata air dan bahan tumisan.
5. Masukkan kiub ayam. Gaul sebentar dan terus masukkan kacang tanah. Gaul lagi.
6. Akhir sekali masukkan air asam jawa. Sesuaikan rasa garam dan gula, jika kurang boleh tambah.
7. Gaul sehingga agak-agak sudah pecah minyak. Boleh matikan api.
Kalau dah siap buat kuah kacang boleh lah buat Sate ke Gado-gado tak pun nasi Impit sedap tau.
Selamat Mencuba
#edakitchen #kuahkacang
0 Comments