Kek Marble ni biasanya orang buat dalam pelbagai versi.  Ada versi biasa dengan menggunakan kos rendah dan ada juga kek marble premium yang menggunakan bahan yang mahal terutamanya butter.  Bagi Ida, tak kisahlah yang penting kalau buat sendiri lagi sedap dan jimat.

Resepi ini Ida sertakan dalam sukatan gram dan cawan bagi memudahkan sesiapa yang nak cuba buat. Selain menggunakan butter, anda juga boleh menggunakan planta atau mentega.  Ida pernah je buat kek marble menggunakan mentega jenama pelangi .  Sedap dan wangi biar pun menggunakan bahan kos rendah.  

Sebelum nak bakar kek, pastikan panaskan terlebih dahulu oven anda.  Sekurang-kurangnya 20 minit awal dengan kepanasan tinggi iaitu sehingga 200°C.  Apabila sampai masa nak bakar tu barulah turunkan suhu kepada 160°C dan bakarlah kek anda seperti biasa.  Bila dah masak dan dah keluar dari oven, jangan biarkan lama dalam loyang takut berpeluh kek tu, kalau boleh terus terbalikkan atas pinggan atau redai.

Nanti anda cuba buat resepi kek marble ni boleh tengok step-step dalam video di bawah,  sambil-sambil tu bolehlah singgah di YouTube channel edakitchen dan jemputlah subscribe juga 😉.

vLog Cara masak kek Marble Step by Step. 

Bahan-Bahan:

  • 1 ketul (250 gm) butter suhu bilik
  • 5 biji telur saiz A
  • 2 ½ cawan ( 250 gm) tepung gandum
  • 1 cawan (200 gm) gula halus (gula kasar dikisar)
  • 1 sudu makan serbuk penaik
  • 1 sudu teh perasa vanila
  • 2 sudu makan susu segar
  • 2 sudu makan serbuk koko (dark coco)
  • Pewarna coklat
  • Pewarna merah jambu (pink)
  • Loyang round 7 inci

Cara Penyediaan:

1.  Pukul butter bersama gula halus sehingga kembang iaitu berubah warna kepada putih krim.  Tetapkan mesin pengadun bermula dari kelajuan rendah dan naikkan kelajuan pada tahap maksimum secara berperingkat.  Proses ini mengambil masa lebih kurang 10 hingga 15 minit.  Biasanya adunan yang baik akan menjadi maringue / adunan tidak cair dan tidak jatuh jika diangkat.

2.  Masukkan susu segar dan perisa vanila.  Kemudian hidupkan kembali mixer /mesin pengadun.

3.  Kemudian masukkan telur satu persatu. Tunggu 2 minit untuk setiap telur dimasukkan kedalam adunan. Selepas telur yang terakhir masuk tunggu sehingga 5 minit atau lebih barulah campurkan tepung. 

4.  Campurkan serbuk penaik ke dalam tepung gandum kemudian ayak bersama.  Proses ini penting supaya campuran tepung gandum dan serbuk penaik sekata dan juga akan membantu supaya kek tidak bantat iaitu tidak kembang dengan baik apabila keluar daripada oven selepas dibakar.

5.  Selepas tepung gandum diayak, kemudian masukkan ke dalam adunan butter tadi.  Sambung mix sekejap sahaja.  Selepas itu kaupbalik adunan dengan sekata.

6.  Bahagikan adunan kepada 3 bahagian.  Bahagian pertama campurkan dengan sedikit pewarna pink.  Bahagian kedua, campurkan dengan serbuk koko dan pewarna coklat.  Bahagian ketiga, biarkan dengan warna asal.

7.  Oleskan kesemua bahagian loyang dengan margerin atau butter.  Lapik dengan kertas minyak yang telah diukur.

8.  Tuang adunan secara berselangseli.  Gunakan 2 sudu makan disetiap lapisan.  Buat sehingga habis.  Kemudian boleh lorekkan permukaan atas kek mengikut kreativiti anda.

9.  Perkara penting,  hentak-hentakkan loyang berisi adunan tadi untuk memamjpatkan adunan sambil mengelakkan gelembung udara didalam adunan.

10. Bakar kek pada suhu 160°C selama 1 jam atau bergantung kepada saiz oven.  

11. Boleh cucuk dengan lidi di tengah kek nak tahu masak ke tidak, iaitu tiada sisa kek melekat pada lidi tersebut. Jangan terlebih masak takut tekstur kek kering dan merekah.

12. Keluarkan dari oven, nanti loyang suam sikit boleh terbalikkan atas redai, tunggu kek sejuk sepenuhnya boleh dihidangkan



Selamat mencuba

#edakitchen #kekmarble