Resepi pulut panggang tradisional melayu berintikan serunding udang, resepi ini terkenal sebagai makanan kegemaran masyaralat di Malaysia, Indonesia dan Brunei

Pulut Panggang adalah antara kuih tradisional Melayu yang tidak pernah lapuk dek zaman, disediakan menggunakan nasi pulut sebagai bahan utamanya. Kuih ini berintikan serunding kelapa ataupun ada yang panggil serunding udang. Pulut Panggang kemudian dibalut dengan daun pisang dan dipanggang di atas bara sebab tulah namanya pulut panggang.  

vLog resepi Pulut panggang sambal serunding udang


Bahan-Bahan Sambal Udang  (Inti Pulut Panggang):
  • 120 gm Udang Kering            
  • 1 biji Kelapa diparut              
  • 3 sudu makan cili boh            
  • 1 sudu teh garam                      
  • 1 sudu makan serbuk kunyit     
  • 3 sudu makan gula 
  • Minyak masak                
Bahan serunding udang untuk dijadikan inti pulut panggang, dengan bahan utamanya udang kering, bawang merah, dan kelapa parut disamping garam dan lada

Bahan Kisar Untuk Sambal Udang:
  • 4 biji bawang merah                
  • 4 ulas bawang putih              
  • 3 batang serai                          
  • 1 inci halia  

Cara Penyediaan Sambal Udang:

1.  Rendam udang kering lebih kurang 20 minit atau hingga sejam pun boleh.  Selepas itu, kisar udang yang telah direndam tadi menggunakan blender kering.

2.  Panaskan minyak.  Tumis bahan kisar sehingga wangi.  Selepas itu masukkan cili kisar dan garam.  Tumis hingga sehingga naik minyak.

3.  Masukkan udang kering, gula dan serbuk kunyit.  Gaul sebati lebih kurang 5 minit.

4.  Kemudian masukkan kelapa parut.  Gaul sehingga semuanya sebati.

5.  Sebelum matikan api, jangan lupa ambil sesudu dan rasa selepas itu kalau mau boleh tambah garam atau gula ikut selera masing-masing.

Serunding Udang atau serunding kelapa digunakan sebagai inti  Pulut Panggang


Bahan-Bahan Nasi Pulut:
  • 2 kg Beras Pulut              
  • 2 Kotak Santan Kelapa    
  • 1 Sudu makan Garam            
  • 4 sudu minyak masak      
  • Daun Pandan                      
  • Daun Pisang       
Pulut panggang santan, daun pandan, daun pisang dan garam bahan penting untuk penyediaan pulut panggang

Cara Penyediaan Nasi Pulut:

1.  Cuci beras pulut terlebih dahulu.  Di dalam periuk nasi masukkan daun pandan, minyak masak, garam dan santan.  Gaul dan tambah air paras seinci daripada beras pulut.  Kemudian tanak sehingga separa masak.

2.  Setelah itu, pindahkan ke periuk kukusan yang telah dilapik dengan daun pisang.  Kukus nasi pulut anda sehingga masak.


Cara Membungkus Pulut Panggang:

1.  Sediakan daun pisang yang telah dipotong dan dilayur.

2.  Oleskan atau sapukan  sedikit minyak masak di atas permukaan daun pisang.

3.  Ambil lebih kurang 2 sudu besar pulut kemudian ratakan di atas daun pisang tadi.  Selepas itu ambil 1 atau 2 sudu makan inti sambal atau serunding udang tadi dan letakkan di tengah-tengah pulut.

4.  Tutup inti pulut panggang dengan temukan kedua-dua hujung pulut supaya ia tertutup atau berasa ditengah-tengah gulungan nasi pulut.  Gulung-gulungkankan daun pisang dengan rapat untuk memadatkan lagi pulut panggang anda.

5.  Sematkan hujung daun pisang dengan memasukkan hujung daun pisang kedalam gulungan pulut panggang.  Buat proses tersebut sehingga habis.

6.  Letak pulut panggang di atas kuali leper atau peralatan untuk memanggang pulut.  Bakar dengan api sederhana.  Balik-balikkan supaya pulut panggang dapat dimasak dengan sekata.

Pulut Panggang kuih tradisional melayu dibakar di atas pembakar gas.

Dah siap selamat mencuba.

#edakitchen #pulutpanggang #sambaludang #serundingudang