Bakwan adalah sejenis kuih yang sangat terkenal di Indonesia malah perkataan bakwan itu sendiri adalah berasal daripada Indonesia.  Bagi Ida ia seakan sama dengan cucur jika di Malaysia.  Bakwan terdiri daripada sayuran sebagai bahan utamanya.  Manakala di Malaysia pula lebih terkenal dengan cucur udang.  Namun menurut satu blog yang Ida baca, bukan semua daerah atau tempat di Indonesia memanggilnya Bakwan.  Contohnya Kota Malang disebut dengan weci, di Surabaya menggelarnya ote-ote dan di Jawa Barat pula menggelarnya dengan nama bala-bala.  So benarlah kan "Lain padang lain belalang".  Maksudnya cari sendiri 😅 

Bakwan telah diolah dalam pelbagai campuran mengikut kegemaran dan yang paling penting ia masih lagi berasaskan sayuran.  Contohnya bakwan jagung, bakwan lobak, bakwan tauhu dan ada sudah yang membuat bakwan sayur bercampur udang.  Tidak salah yang penting boleh dimakan dan enak.

Oklah kita balik kepada cerita bakwan yang Ida buat.  Sebenarnya kobis tak ada kat rumah, so Ida hanya menggunakan lobak dan daun bawang sebagai bahan asasnya.  Sedap, anda boleh juga mencubanya.

Bahan-Bahan:

  • 2 cawan tepung gandum
  • 3 sudu makan tepung beras
  • 1 mangkuk lobak dihiris memanjang
  • 1 mangkuk daun bawang yang telah dipotong kecil
  • 1 cuit/piring kecil daun kucai dipotong kecil
  • 1 biji telur
  • 2 sudu makan gula
  • 1 sudu makan serbuk perasa
  • 1 sudu teh serbuk lada sulah
  • 1/2 sudu teh garam
  • 100 ml air putih
  • Minyak secukupnya


Cara-Cara Memasaknya:



1.  Didalam bekas atau mangkuk campurkan kesemua bahan termasuk air kecuali telur.  Gaul sekata semuanya.  


2.  Selepas itu, pecahkan telur dan gaul sekata lagi.


3.  Adunan seperti cucur.  Boleh tambah air jika kurang.  Boleh jer rasa adunan tu, colek sedikit dengan hujung sudu.  Sesuaikan rasa garam dan gulanya atau bahan perasa lain, tambah jika perlu.


4.  Goreng menggunakan minyak yang banyak.  Gunakan api sederhana supaya tak hangus dan keras.


5.  Siap dihidang bersama sos atau bahan pencicah kegemaran.  Ida gunakan sos Lekor, sedap je.

Selamat mencuba  🌷🌷