Homemade Resipi Nasi Ayam Hainanese | Nasi Ayam Singapore

Nasi ayam Hainan adalah hidangan ayam sup dan nasi, disajikan dengan sos cili dan biasanya dengan hiasan timun.  Ia dimulakan oleh Imigran yang berasal dari Hainan di selatan China yang datang ke Singapore sebelum zaman kemerdekaan lagi.

Namun pada hari ini, nasi Ayam Hainanese sudah menjadi salah satu hidangan cukup popular terutamanya di Singapore, Malaysia dan Thailand.  Nasi Ayam Hainanese juga dikenali sebagai Nasi Ayam Singapore kerana walaupun ianya dimulakan oleh orang Hainan tetapi resepi Nasi Ayam Hainanese ini tercipta di asia tenggara dan amat popular di Singapore.  Apa yang menariknya, sungguhpun anda pergi ke Hainan, China tetapi anda tidak akan menjumpai hidangan yang sama di Hainan.  Tetapi berbeza dengan Malaysia dan Singapore, Nasi Ayam Hainanese banyak di jual di restaurant dan "food court" di serata Malaysia.

Untuk menyediakan Nasi Ayam Hainanese ni ia melibatkan 4 langkah penting seperti langkah masak ayam, Menyejukan ayam, masak nasi dan penyediaan sos kicap serta sos cili. Just ikut langkah demi langkah InsyaAllah jadi.  Disetiap langkah barulah Ida tulis bahan serta sukatannya.  So jom mencubanya.

Cara Masak Nasi Ayam Hainanese:

vLog Cara Masak Nasi Ayam step by step.
(Pst, kawan-kawan support & subcribe YouTube Channel Ida ye, banyak lagi resepi Ida akan share)

Langkah 1: Merebus Ayam

Bahan-bahan:

1 ekor ayam dibelah 2 dan asingkan lemak (simpan lemak untuk proses memasak nasi)
8 atau lebih potongan daun bawang
1 batang lobak putih di potong kiub besar
5 cm halia di hiris 
1 sudu makan kicap cair
1 sudu makan garam
2 liter air atau secukupnya



Cara-caranya:

1.  Panaskan air sehingga mendidih.  Sementara itu lumur ayam dengan 1 sudu makan garam dan 1 sudu makan kicap cair.  Perap sekejap sementara menunggu air mendidih.

2.  Setelah air mendidih masukkan kesemua bahan lobak putih, daun bawang, halia dan ayam tadi bersama air perapannya.  Masak selama lebih kurang 20 minit dengan api kecil.  Tutup periuk tetapi sekali sekala kena jaga kerana takut airnya akan membuak keluar.  Ni jika kes periuk kecil macam Ida 😅.

Langkah 2 : Setelah Ayam Masak

Bahan-Bahan:

Air secukupnya
1 jug ais batu
1 sudu makan serbuk lada sulah
1 1/2 sudu makan garam
1 sudu makan minyak bijan



3.  Setelah ayam masak, keluarkan dari periuk terus masukkan ke dalam air berais.  Proses ni penting kerana air sejuk akan menghentikan proses memasaknya dihentikan dan mengekalkan kelembapan ayam.  Biarkan selama lebih kurang 10 minit.

4.  Sementara itu teruskan mereneh air sup tadi dengan api kecil. Tambahkan serbuk lada sulah dan 1 sudu makan garam ke dalam sup.

5.  Setelah itu, keluarkan ayam dari air ais dan terus drain atau gantung untuk mengeringkan airnya.  Ambil masa lebih kurang 5 minit atau agak-agak dah kering, sapu kulit ayam atau bahagian luar ayam dengan campuran 1/2 sudu makan garam dan minyak bijan.  Tujuannya supaya kulit ayam kelihatan berkilat cantik dan tidak kering.

... Ok simpan elok-elok, jom masak nasi pula...  

Langkah 3 : Masak Nasi Ayam

Bahan-Bahan:

600 gm beras @ 3 1/2 pot dicuci bersih
Lemak ayam 
2 cm halia ditumbuk
2 biji bawang putih ditumbuk
1 biji bawang merah ditumbuk
1 1/2 sudu makan kicap cair
1 1/2 sudu makan minyak bijan
1 daun pandan



6.  Tumis lemak ayam bersama minyak bijan sehingga mengeluarkan/mencairkan lemak ayam.  Kemudian keluarkan semula kulit ayam yang tinggal.  Kulit ayam tadi boleh dimasukkan ke dalam sup.

7.  Kemudian masukkan bawang merah, bawang putih dan halia.  Kacau sehingga naik bau wangi.  

8.  Selepas itu masukkan pula kicap cair dan daun pandan.  Gaul supaya tidak hangus.  Pastikan api sederhana.  

9.  Masukkan beras dan gaul sehingga sekata.  Gaul sekejap sahaja selepas itu matikan api.  Pindahkan beras ke periuk nasi untuk proses memasak nasi.  Tambahkan air daripada sup ayam tadi untuk memasak nasi.  Anggaran 2:1 (2 cawan air untuk 1 cawan beras)

10.  Tanak nasi selama lebih kurang 20 minit atau sehingga masak.

11.  Sementara menunggu nasi masak bolehlah potong ayam.


Langkah 4 :  Penyediaan Sos Kicap, Cili dan Sayur. 


Untuk Sos Kicap:

1 sudu makan gula
1 sudu makan minyak bijan
2 sudu makan kicap cair
2 sudu makan sup ayam

12.  Campurkan kesemua bahan sehingga sekata.  

Mengikut resipi asal sos kicap untuk Nasi Ayam Hainanese ada menggunakan Shaoxing wine iaitu sejenis arak daripada beras yang beralkohol jadi bagi yang muslim kena elaklah.  Bagi pembaca yang non-muslim boleh lah cari Shaoxing wine untuk buat original sos kicap Nasi Ayam Hainanese. 

Untuk Sos Cili:

2 sudu makan cili garam (Cara buat cili garam boleh klik sini)
1 sudu makan sup ayam

13.  Sos cili pula hanya campurkan cili garam dengan sup ayam dan gaul sekata.

Bahan Sayur/Hiasan

Daun salad (terpulang nak berapa banyak)
1 biji Timun

14.  Potong timun ikut selera masing-masing, boleh tambah daun salad kalau suka, tengok nasi kalau dah masak bolehlah gabungkan semua dan hidangkan.



Selamat mencuba 👍👍