Assalamualaikum dan salam sejahtera.  Pagi tadi buat kuih Cucur Badak sebagai sarapan pagi untuk suami.   Rasa serunding udang yang dicampur dengan kelapa parut sangat sedap lebih-lebih lagi ditambah dengan kemanisan keledek oren.  Bila makan tu rasa tak nak berhenti.  Jika nak, boleh cuba buat resepinya kat bawah ni.  

Sebenarnya agak mudah juga jika menyediakan kuih ni terutamanya jika hanya menyediakan bahagian doh sahaja iaitu bahagian kulit.  Agak lambat sedikit jika menyediakan intinya.  Jadi Ida syorkan inti serunding tu buat awal dan boleh frozenkan.  Bila dah nak pakai just panaskan dan boleh terus gunakan untuk inti Cucur Badak.  Ada juga yang lebih suka buat banyak dan frozenkan kuih Cucur Badak.  Emmm lagi mudah.  Nak frozenkan kenalah goreng separuh masak, biar sejuk kemudian masukkan kedalam bekas kedap udara atau seal dalam plastik lepas tu boleh frozenkan.  Bila-bila masa nak makan terus goreng.  Sangat sedap untuk dijadikan santapan minum petang 😀.

Bahan-Bahan Serunding Udang:
  • 120 gm Udang Kering
  • 1 biji Kelapa diparut
  • 3 sudu makan cili boh
  • 1 sudu teh garam
  • 1 sudu makan serbuk kunyit
  • 3 sudu makan gula
  • Minyak masak 


Bahan Kisar Untuk Sambal Udang:
  • 4 biji bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 3 batang serai
  • 1 inci halia 



Cara Penyediaan Serunding Udang:

1. Rendam udang kering lebih kurang 20 minit atau hingga sejam pun boleh. Selepas itu, kisar udang yang telah direndam tadi menggunakan blender kering.

2. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar sehingga wangi. Selepas itu masukkan cili kisar dan garam. Tumis hingga sehingga naik minyak.

3. Masukkan udang kering, gula dan serbuk kunyit. Gaul sebati lebih kurang 5 minit.

4. Kemudian masukkan kelapa parut. Gaul sehingga semuanya sebati.

5. Sebelum matikan api, jangan lupa ambil sesudu dan rasa selepas itu kalau mau boleh tambah garam atau gula ikut selera masing-masing.

Bahan Kulit/Doh:
  • ½ kg keledek oren
  • ½ cawan tepung selfraising
  • 1 sudu makan butter atau mentega
  • 1 sudu teh garam

Cara Penyediaan:

1. Keledek di kukus hingga empuk. Selepas itu lenyek halus bersama garam dan butter.

2. Campur tepung sedikit demi sedikit sambil uli sekata hingga menjadi doh dan tidak lekat ditangan.

3. Bila dah siap, bulat-bulatkan doh kepada saiz yang diingini atau kalau nak cantik boleh timbang setiap doh dengan anggaran 30 atau 40 gram.

4. Doh yang dibulat-bulatkan tadi kemudian dileperkan atau diratakan untuk dimasukkan inti dalam anggaran ½ sudu makan mengikut saiz doh anda. Setelah ada inti, tutup balik dan gentelkan semula supaya menjadi bulat yang cantik. Oleskan sedikit minyak ditapak tangan untuk menggelakkan doh melekat ditapak tangan. Tabur juga sedikit tepung diatas talam sebelum meletakkan kuih tadi.

5. Goreng dalam minyak banyak dan api yang perlahan. Sambil goreng balik-balikkan cucur badak agar cantik dan bulat.

6. Untuk frozen, goreng sebentar dengan api sederhana, goreng separuh masak dan sejukkan di atas towel kitchen, baru packing dan frozenkan.




Selamat mencuba

#edakitchen #cucurbadak