Kuih Kaswi / Kusui, Rasa lembut, tak manis sangat, sedikit kenyal dan dihidangkan bersama salutan kelapa parut yang lemak memang sangat membuka selera
Kuih Kaswi / Kusui / Kosui

Kuih Kaswi adalah salah satu kuih tradisional juga dan di kategorikan sebagai kuih kukus atau kuih talam.  Pelbagai versi panggilan untuk kuih kaswi yang saya pernah dengar antaranya kusui dan kasoi.  Bagi saya sama je, tak lari jauh pun sebutannya, cuma mungkin ia mengikut loghat penduduk setempat sahaja.  

Rasa lembut, tak manis sangat, sedikit kenyal dan dihidangkan bersama salutan kelapa parut yang lemak memang sangat membuka selera.  Bagi penggemar Kuih Kaswi memang kena cuba resipi ini. So jom sama-sama belajar buat kuih kusui,

Bahan 1:
  • ½ cawan gula putih
  • 1 cawan gula merah
  • 2 helai daun pandan
  • 2 cawan air putih

Bahan 2:
  • 1 cawan tepung ubi kayu
  • 2 cawan tepung gandum
  • 3 cawan air putih
  • 3 sudu makan air kapur cair

Bahan salut:
  • Kelapa parut putih
  • Garam
vLog Cara Masak Kuih Kaswi @ Kuih Kosui (Tips Enable Subtitle)

Cara membuatnya:

1.  Campurkan semua bahan 1 ke dalam periuk untuk membuat air gula merah.  Kemudian masak sehingga semua gula larut dan mendidih.  Setelah itu sejukkan.

2.  Didalam bekas lain, campurkan bahan 2 iaitu tepung gandum, tepung ubi kayu dan air kecuali air kapur.  Gaul sehingga sebati.

3.  Selepas itu, tuangkan air gula merah (iaitu nombor 1) ke dalam bekas adunan tepung (iaitu nombor 2) dengan cara menapisnya.  Tak tapis pun tak apa cuma perlu keluarkan je daun pandan tu dulu.

4.  Gaul sebati kemudian campurkan pula air kapur.  Gaul lagi.

5.  Tapiskan ke dalam loyang.  Ini wajib tapis, supaya tiada sisa ketulan tepung atau bendasing lain yang ada dalam adunan.  Loyang tu saya oleskan dengan sedikit minyak supaya kuih tak melekat diloyang nanti dan saya juga lapik dengan plastik tahan panas.  Tapi kalau tak lapik plastik pun ok je sebenarnya, saya buat untuk menyenangkan saya alihkan je dari loyang.

6.  Kukus selama lebih kurang 40 minit atau sehingga masak dengan api sederhana.  Jangan lupa untuk panaskan kukusan terlebih dahulu.

7.  Setelah masak, jangan terus angkat dari kukusan jika ada air bertakung sedikit diatas kuih.  Biarkan didalam kukusan dengan api masih terbuka selama lebih kurang 10 minit atau sehingga semua air diatas kuih kering atau tersejat.

8.  Sesudah sejuk barulah boleh dipotong.  Salutkan kuih dengan bahan salut iaitu kelapa parut putih yang telah digaul dengan sedikit garam. Tips- Kelapa parut tu saya kukus supaya lebih tahan lama atau sekurang-kurangnya tahan hingga ke petang .

Selamat mencuba

#edakitchen #kuihkusui #kuihkasui #kuihkaswi