Resepi Lala Masak Pedas dihiasi hirisan timun
Lala Masak Pedas

Cara basuh lala, rendam dengan air yang dibubuh sedikit garam, biarkan lebih kurang 1 jam kemudian bilas berulang kali, cuba buka lala dan pastikan tiada pasir yang terkandung didalam kerang lala tersebut.

Resepi Lala Masak Pedas
Lala Masak Pedas

Dalam resepi ni saya tak gunakan garam tetapi saya gantikan dengan sos ikan, terpulang pada citarasa masing-masing kerana jika tak nak gunakan sos ikan atau tiada sos ikan di rumah, boleh jer gunakan garam sahaja.  Kalau ada yang nak gunakan kedua-duanya, saya tak boleh nak kata apalah sebab bagi saya dua-duanya pun dah masin.

vLog Resepi Lala masak pedas

Bahan-Bahan:
  • 1 kg lala
  • 2 sudu makan sos ikan
  • 2 sudu makan sos tiram
  • 3 sudu makan sos cili
  • 3 sudu makan air asam jawa
  • 2 batang serai, dititik kemudian kerat
  • 2 helai daun limau purut, dibuang batang tengah daun
  • 2 biji cili merah dipotong serong
  • 1/2 sudu makan gula
  • Sedikit minyak masak untuk menumis

Bahan kisar:
  • 10 biji cili padi
  • 1 inci halia
  • 2 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
bahan-bahan Lala Masak Pedas
Bahan-bahan Lala Masak Pedas

Cara Penyediaan:

1. Basuh lala dan rendam seketika untuk keluarkan sisa kotor. Bilas dengan air dan toskan.

2. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga wangi.

3. Masukkan serai, sos cili, sos tiram, sos ikan dan air asam jawa. Gaul.

4. Masukkan lala, cili merah dan limau purut, kacau bersama bahan tumis dengan sekata. Kalau nak sedikit berkuah boleh tambahkan air.

5. Masukkan juga sedikit gula, untuk menambah keenakkannya. Ok masak lagi lebih kurang 10 minit dan siap untuk dihidang. 

Selamat mencuba.