Kuih Onde Onde adalah juga antara kuih yang paling mudah untuk dibuat dan sedap, Sebelum ini saya dah pernah buat kuih Onde-Onde ni dengan sukatan 1 pek atau 500 gram tapi kali ni saya buat 1/2 pek sahaja iaitu 250 gram. Manalah tau nak buat sedikit sahaja untuk berbuka puasa kan jadi bolehlah cuba resepi ni.
Selain dari Onde-Onde ianya juga dipanggil dengan kuih Buah Melaka atau di Indonesia dipanggil dengan Klepon diperbuat daripada tepung pulut. Kuih yang sangat sedap berintikan gula melaka dan disaluti dengan kelapa parut yang segar.
Bahan-Bahan:
- 250 gram tepung pulut
- 4 sudu makan tepung gandum
- 4 helai daun pandan
- 1 cawan air
- Sedikit pewarna hijau
- 1/2 sudu teh garam
- Gula melaka - inti
- Kelapa parut putih - salut kuih buah melaka
Cara-Cara Membuatnya:
vLog Cara Buat Kuih Onde-one @ Kuih Buah Melaka
1. Potong kecil daun pandan supaya mudah untuk dikisar. Kemudian kisar dengan 1 cawan air dan tapis. Setelah ditapis, campurkan dengan sedikit pewarna hijau dan juga garam.
2. Didalam bekas lain, campurkan tepung pulut dan tepung gandum. Gaul sekata.
3.Tuangkan campuran air pandan ke dalam tepung sedikit demi sedikit. Uli sekata. Tambahkan air yang selebihnya ke tepung sedikit demi sedikit sehingga adunan menjadi doh. Doh jangan terlalu lembut.
4. Gentel bulat dengan mengisi inti gula melaka di dalamnya. Buat sehingga habis.
5. Selepas itu, masukkan kedalam air yang sudah mendidih. Buatlah anggaran berapa biji yang periuk anda muat. Apabila sudah timbul, maknanya sudah masak. Biarkan timbul selama lebih kurang 30 saat sebelum diangkat. Cedok keluar mengguankan sudip berlubang-lubang supaya airnya tidak bertakung dan boleh sahaja terus letak ke atas kelapa parut putih. Kalau tiada sudip berlubang-lubang, boleh je gunakan sudip biasa, tetapi kenalah toskan kuihnya terlebih dahulu kemudian barulah boleh letak ke atas kelapa parut.
6. Kelapa parut putih lebih sedap jika digaul terlebih dahulu dengan secubit garam untuk memberikan rasa sedikit lemak. Gelek-gelekkan buah melaka anda yang sudah masak diatas kelapa parut putih.
7. Siap untuk dihidang.
Selamat mencuba
0 Comments