kuih seri muka pandan, eda kitchen, ida nursuri, kuih putri salat, kuih serimuka,
Kuih Seri Muka Pandan

Salah satu kuih kegemaran suami dan anak-anak ialah kuih Serimuka atau jika di Singapula dipanggil kuih puteri salat.  Kuih ini didapati di Indonesia (terutamanya di Kalimantan Selatan) Malaysia dan Singapura.  

Ia adalah sejenis kuih talam yang diatasnya lapisan kastard yang beraroma pandan dan dibawahnya adalah pulut yang telah dikukus terlebih dahulu.  Dengan sukatan ni saya menggunakan acuan loyang segiempat ( square) 7 x 7 inci, nak lagi cantik gunakan  loyang segiempat 8 x 8 inci.  Bergantung kepada saiz kukusan masing-masing.

Beberapa tips yang saya akan kongsikan disini dan diharap dapat membantu untuk menghasilkan kuih serimuka yang diidamkan.  First, minyak dalam campuran beras pulut sebenarnya taklah wajib sangat, andainya terlupa ketika masak pulut tu tak jadi masalah.  Tujuannya hanyalah bagi pulut tu nampak berkilat dan licin macam kuih dulu-dulu.  Bahagian pulut kukus kena lebih berasa sikit masinnya supaya dapat seimbangkan dengan rasa manis bahagian atas iaitu bahagian hijau.

Second, untuk lapisan atas tu iaitu hijau, jika nak lebih mudah, masukkan semua bahan lapisan atas (hijau) kedalam mesin kisar (blender) dan kisar sehingga tiada ketulan tepung.  Sebenarnya jika tak nak masak adunan tepung tu boleh je macam cara orang dulu-dulu.  Tetapi tujuan memasaknya ialah supaya hasilnya setelah dikukus bahagian atas tu kelihatan berkilat dan licin.   Ketika sudah siap kukus ( 40 minit), sambung kukus selama 10 minit untuk mengeringkan lembapan atau air bertakung diatas kuih.

Third, setelah kuih siap dikukus pula tunggu kuih sehingga betul-betul sejuk dahulu barulah dipotong. Kalau masih panas nanti kuih lembik dan tak cantik bila potong.  Sapu pisau dengan sedikit minyak bila nak potong kuih supaya mudah dipotong dan taklah melekat-lekat.  

Ok semua tips dah ditulis, sekarang jom tengok resepinya.



Note: Dalam video untuk lapisan bawah dan lapisan atas saya buat secara berasingan supaya lebih mudah untuk difahami.  Hakikatnya jika nak buat lebih cepat dan jimat masa, ketika kita mengukus beras pulut, boleh je sediakan lapisan atas.

Bahan-Bahan Lapisan Bawah (Pulut)

📌 1 ½ cawan beras pulut
📌 1 kotak kecil santan
📌 ½ cawan air
📌 1 sudu teh garam
📌 1 sudu makan minyak 
📌 1 helai daun pandan ...lebih pun ok je


Bahan-Bahan Lapisan Atas (Hijau)

📌 ½ cawan tepung gandum
📌 ½ cawan gula 
📌 1 sudu makan tepung jagung
📌 1 kotak kecil santan
📌 1 cawan air
📌 1 sudu teh garam
📌 2 biji telur
📌 4 helai daun pandan
📌 Sedikit pewarna hijau


Cara Penyediaan:

Cara-cara untuk lapisan bawah (pulut kukus):

📌 Rendam pulut selama lebih kurang 2 jam, kemudian tapis dan toskan airnya.

📌 Masuk pulut ke dalam loyang, gaul bersama santan, garam, sesudu makan minyak dan daun pandan.

📌 Kukus selama ½ jam atau sehingga pulut masak. Setelah masak, gembur-gemburkan.  Biar santan dan pulut sebati.

📌 Gris loyang dengan minyak. Lapik dengan plastik. Kalau tak lapik pun tak ada masalah.

📌 Tuang pulut kukus, tekan-tekan supaya padat.
Cakar sedikit permukaan pulut dengan garfu, tujuan supaya kuih lapisan atas dan bawah melekat bila kukus nanti.  Ketepikan dan jom buat lapisan bawah pula


Cara-cara untuk lapisan atas
 (Hijau) :

📌 Potong kecil-kecil daun pandan supaya senang nak kisar.  Kisar bersama 1 cawan air.  

📌 Campur gula, garam dan telur.  Gaul sehingga gula dan garam larut.
  
📌 Kemudian masukkan sekotak santan.  Gaul lagi.  

📌 Seterusnya masukkan tepung gandum dan tepung jagung.  Gaul sebati dan tambah pewarna hijau jika perlu.  

📌 Selepas itu tapis supaya tiada ketulan tepung didalam adunan.

📌 Kemudian masak sekejap adunan sehingga mengeluarkan wap (sedikit berasap) dan matikan api.  

📌 Tuang adunan ke atas lapisan bawah (pulut) tadi.
Kukus selama 1 jam atau sehingga masak.  Selepas 1 jam, buka penutup kukusan dan sambung kukus selama 10 minit lagi.  

📌 Tunggu sehingga sejuk barulah keluarkan dari loyang dan ianya cantik untuk dipotong.

Selamat mencuba