Sup Ikan Merah Yang Simple Dan Menyelerakan | Chinese Style

 
Assalamualaikum

Alhamdulillah resepi terakhir untuk tahun 2023 ialah Sup Ikan Merah.  Ini kali pertama saya mencuba masak sup ikan dengan cara masakan cina.  Walaupun ianya simple tetapi sangat sedap. 

Resepi asal mengikut cara cina mereka hanya gunakan fillet ikan (isi ikan) dengan cara membuang tulang dan kepala dan hanya mengambil isinya sahaja.  Saya pula menggunakan keseluruhan ikan tanpa membuang tulangnya.  Hanya buang segala sirip, ekor dan apa yang tajam di badan ikan.  Buang juga sisiknya, bersihkan dalam perut ikan dan terakhir potong mengikut saiz yang sesuai.  Selain daripada ikan merah, ikan lain seperti ikan bawal, ikan jenahak, siakap pun sedap jika dimasak sup.

Masak sup memang tidak dapat dipisahkan dengan serai, bawang putih, merah dan segala, tapi kali ni masak tanpa semua bahan tu.  Halia di hiris tipis, tomato dibelah kepada 4 @ 6 bahagian.  Garam pula digantikan dengan sos ikan dan juga kiub ayam.  Selain menggunakan kiub ayam boleh juga gunakan chicken stock powder atau yang cair.  Cendawan jarum (enokitake) dipotong pangkalnya supaya ianya mudah terlerai, tauhu goreng dibelah 2.  Tauhu goreng boleh digantikan dengan tauhu jepun yang dipotong-potong kemudian digoreng sebelum dicampur ke dalam sup.   

Biasanya masak ikan sup ada yang isinya hancur, hilang mood makan jadinya.  Untuk mengelak isi ikan hancur, jangan terlalu kerap gaul setelah memasukkan ikan ke dalam sup dan pastikan air sup sudah mendidih barulah masukkan ikannya.  

Jom lihat apa bahan-bahannya dan cara memasaknya.

Bahan-bahan :
  • 1 ekor ikan merah
  • 3 ~ 5 pokok ketumbar
  • 3 ketul tauhu goreng
  • 1 plastik cendawan jarum (enokitake)
  • 1 kiub ayam
  • 1 sudu makan gula
  • 1 sudu makan sos ikan
  • 1/2 sudu teh lada sulah/putih
  • 2 inci halia
  • 2 biji tomato
  • 2 @ 3 sudu makan tepung ubi kayu
  • Minyak masak secukupnya (untuk perapan dan menumis)
  • Air secukupnya (lebih kurang 3 @ 4 cawan)

Cara Menyediakan:

1.  Lumur ikan dengan 1 @ 2 sudu minyak makan, kemudian salut dengan tepung ubi pada keseluruhan ikan.  Sesudah tu biarkan seketika sementara menyediakan supnya.

2.  Panaskan 3 sudu minyak masak.  

3.  Masukkan hirisan halia dan potongan tomato.  Tumis seketika sehingga tomato agak lembut.  Masukkan 2 cawan air.

4.  Masukkan gula, sos ikan, kiub ayam dan serbuk lada sulah.  Gaul.  Tambahkan air jika perlu atau nak lebihkan kuah sup.

5.  Apabila sup sudah mendidih, masukkan cendawan jarum (enokitake) dan juga ikan merah.  Setelah masukkan ikan, elakkan untuk menggaul dengan kerap.  

6.  Selepas 5 ~ 10 minit atau ikan telah masak, masukkan pula potongan tauhu goreng dan juga potongan daun ketumbar.  Gaul lebih kurang 1 ~ 2 minit, boleh matikan api.  

Siap untuk dihidangkan.