Siapa yang tak suka masakan Masak Lemak Cili Api kan? semua orang suka makan sebab sangat sedap, manakala surirumah pula suka buat masakan ni sebab ianya sangat ringkas dan cepat penyediaannya yang penting ada santan dirumah. Nak-nak lagi sekarang bertambah senang dengan adanya santan kotak kan. Sebelum ni saya dah pernah masak udang butter, manakala untuk masak lemak sebelum ini saya pernah masak lemak gulai ikan masin dengan nenas, kali ni saya nak buat resepi udang masak lemak cili api pula.
Dalam resepi ni saya menggunakan santan daripada 1/2 biji kelapa yang diperah, tetapi boleh jer gantikan dengan santan kotak....yang penting dapat 2 cawan santan, tak kisahlah jenama apa pun. Ok sebagai tambahan, sedikit tips yang saya boleh kongsi untuk masak hidangan masak lemak ni ialah ketika masak tu api kenalah sederhana dan sentiasa kena gaul supaya taklah pecah minyak dan berketul. Untuk masak lemak udang tak perlu masak terlalu lama, supaya isi udang tidak liat dan menjadikannya kurang sedap ketika dimakan. Jadi, apa tunggu lagi jom tengok resepinya 😋 :
vLog resepi cara buat udang masak lemak cili api
Bahan-Bahan:
- 15 ekor udang dibersihkan
- 6 batang kacang buncis dipotong 2 inci panjang
- 3 biji cili api diketuk
- 1 batang serai diketuk
- 1 asam keping
- Sedikit serbuk kunyit
- Garam dan serbuk perasa
- 2 cawan santan daripada ½ biji kelapa
- 2 biji bawang merah
- 1 ulas bawang putih
- 1 ketul kunyit
Cara Memasaknya:
1. Masukkan bahan kisar, santan, serai, asam keping, cili api dan serbuk kunyit. Gaul hingga sekata, barulah hidupkan api.
2. Selepas itu masukkan garam dan bahan perasa. Gaul seketika barulah masukkan sayur kacang buncis.
3. Apabila sudah mendidih masukkan udang. Gaul sehingga udang masak. Kalau warna udang sudah bertukar menjadi oren pekat, maknanya sudah masaklah tu. Boleh tutup api dan hidangkan.
Selamat mencuba...
0 Comments