Hidangan Kari Ayam sudah menjadi hidangan yang biasa bagi rakyat Malaysia.  Walaupun saya kata "biasa" tetapi ia adalah tetap hidangan istimewa sebab hampir ke semua kedai makan @ restoran akan menyediakan Kari Ayam.  Malahan jika ada majlis-majlis selalunya ada hidangan kari ayam.   Istimewanya juga hidangan kari ayam ni biasa dijadikan kuah pencicah bersama dengan banyak makanan lain seperti roti jala, roti arab, roti canai, kelupis, lemang, ketupat dan banyak lagi.

Dalam resepi ini, kari ayam yang saya sediakan adalah mudah dimasak, yang paling penting tanpa santan macam kari ayam di kedai mamak tetapi tetap sedap, pekat dan tidak mudah rosak (basi).  Sebenarnya nak yang lebih mudah, boleh jer blend bawang merah, bawang putih dan halia secara berasingan dalam bentuk pukal....blend banyak-banyaklah kemudian simpan dalam peti sejuk.  Agak-agaklah untuk kegunaan seminggu, ni sangat sesuai untuk surirumah yang sibuk dan bekerja.  Bila nak masak ceduk je berapa banyak nak.  Tapi kalau nak yang fresh kenalah bersusah-susah, kupas bawang ikut keperluan dan blend.  


Dalam hidangan Kari ayam juga, ada yang suka menambah bahan santan, daun serai atau daun pandan.  Saya sendiri kekadang pun akan menambah daun pandan dalam kari ayam.  Cuma dalam resepi kali ni, saya cuba buat yang mudah disediakan.  So tak kalut kalau tiada bahan seperti santan, daun pandan dan serai tu, kari ayam tetap sedap tanpanya.  Walau bagaimanapun, serbuk kari wajib ye, sebab kalau takde kari  dah tak boleh panggil kari ayam lagi 😁, resepi ni tak sama dengan Ayam masak kurma ye sebab ayam masak kurma dimasak tanpa buah kurma 😂.   Oklah jom tengok resepi Kari Ayam dan jangan lupa untuk mencubanya.

vLog step by step resipi kari ayam, cara masak kari ayam tanpa santan. 

Bahan-Bahan:
  • 1/2 ekor ayam
  • 2 @ 3 biji kentang (kupas kulit dan potong kiub besar)
  • 8 sudu makan serbuk kari (bancuh dengan sedikit air untuk dijadikan pes)
  • 3 sudu makan cili kisar
  • 1 bawang besar dihiris
  • 2 sudu makan pati asam jawa @ 1 asam keping
  • Daun kari (ikut suka badanlah nak banyak mana)
  • Rempah 4 sekawan (1 kulit kayu manis, 3 buah pelaga, 3 bunga cengkih, 3 bunga lawang)
  • Serbuk perasa
  • Garam dan gula
  • Minyak
  • Air

Bahan Kisar:
  • 3 bawang merah 
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 ketul halia (sebesar ibu jari)


Cara-Cara Memasaknya:

1.  Panaskan minyak.  Masukkan rempah 4 sekawan, daun kari dan bawang besar yang telah dihiris.  Gaul seketika.

2.  Selepas itu, masukkan bahan kisar.  Gaul sehingga mengeluarkan aroma.  

3.  Masukkan pes rempah kari dan cili kisar.  Gaul sehingga pecah minyak.  

4.  Masukkan pula ayam.  Gaul sehingga sekata.  Selepas itu, tambah dengan 2 cawan air.  Gaul lagi.

5.  Kemudian masukkan kentang yang telah dipotong dadu, air asam jawa @ asam keping, garam dan gula.  Masa ni boleh tengok sama ada perlu tambah air atau tidak.  Ikut suka badanlah jika nak kuah lebih atau nak pekat sikit pun boleh.   Gaul seketika kemudian tutup dan renehkan. 

6.  Sesekali buka tutup kuali untuk digaul sesambil boleh rasa sama ada nak tambah garam atau sebuk perasa.  Jika sudah masak boleh matikan api.  Kuncinya jika kentangnya sudah empuk, maka sudah masaklah tu dan boleh tutup api.  


Selamat mencuba.